Setiausaha Kehormat, Persatuan Bola Tampar Selangor (SVA), Shamsaimon Sharif, melihat faktor kewangan serta komitmen pemain dalam bentuk jangka masa panjang sebagai cabaran utama jika mahu mewujudkan Liga Bola Tampar Kebangsaan.

Penubuhan saingan liga menjadi agenda utama Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) yang baru, Datuk Benny Hoe.

Menurut Shamsaimon, yang juga penolong jurulatih kebangsaan, beliau begitu gembira dengan idea tersebut yang pasti memberi nilai tambah kepada kekuatan skuad kebangsaan dalam saingan di pentas antarabangsa.

“Kajian perlu dilakukan untuk mengetahui dana yang diberikan kepada setiap persatuan negeri daripada MAVA untuk membuat persediaan bagi menghadapi saingan liga kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Shamsaimon mendedahkan mutu sukan bola tampar memerlukan banyak penambahbaikan, terutama kekangan infrastruktur kerana sehingga ini belum ada gelanggang latihan rasmi MAVA.

Justeru, beliau melihat banyak aspek perlu dilakukan Benny dalam usaha menjadikan bola tampar antara sukan disegani di negara ini.

“Bakat perlu dicungkil daripada saingan-saingan peringkat umur dan kejohanan peringkat kebangsaan,” katanya lagi.