Hasrat finalis tahun lalu, Selangor Meggain, untuk menjulang kejuaraan tidak kesampaian apabila Segamat BA tampil lebih menyerlah bagi memastikan kemenangan tipis 55-51 dalam final Liga Bola Keranjang Wanita di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), hari ini.

Segamat BA menunjukkan permulaan positif apabila tidak membenarkan pihak lawan memecah dominasi pasukan mereka pada awal suku pertama dan kedua.

Penguasaan Segamat BA lebih ketara selepas mereka terus selesa mendahului suku ketiga 47-28.

Aksi pada suku keempat berlangsung sengit, namun belum cukup menafikan kejuaraan Segamat BA apabila perlawanan berakhir 55-51.

"Kami ketinggalan tiga mata tetapi mujur pasukan tidak panik. Kami hanya cuba mengawal keseluruhan perlawanan dan tidak mengikut rentak lawan," kata kapten Segamat BA, Cheryl Poon.

"Pada mulanya, kami ketinggalan agak jauh tetapi kami berjaya mengejar kedudukan. Bagaimanapun, saya rasa kami tewas disebabkan faktor stamina, kecergasan serta ketinggian pemain," kata pemain Selangor Megainn, Renee Lee.

Sementara itu, juara tahun lalu, KL Bina Puri, menamatkan saingan tahun ini di tempat ketiga selepas menewaskan NS Matric 71-40 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

"Bagi pasukan saya pada hari ini, kami mempamerkan peningkatan berbanding semalam.

"Kami tidak meletakkan fokus sepenuhnya dalam aksi semalam dan ia dipertingkatkan pada hari ini untuk meraih kemenangan," kata tonggak KL Bina Puri yang juga pemain paling bernilai 2016, Nur Izzati Yaakob.