Meskipun sudah mengecapi kejayaan terbaik tahun ini, dua pemain boling tenpin negara, Sin Li Jane dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, tetap bernafsu memburu kemenangan dalam Kejohanan Piala Storm Korea Selatan 2017 sebagai penutup gemilang tahun ini.

Li Jane dan Siti Safiyah cemerlang membantu skuad wanita negara dalam Kejohanan Boling Tenpin Dunia di Las Vegas awal bulan ini.

Mereka bersama tiga pemain lain mengakhiri penantian 10 tahun Malaysia memenangi pingat emas dalam kejohanan itu selepas menewaskan Singapura dalam final.

Selain emas acara berpasukan, kedua-duanya turut memenangi satu pingat perak dengan Li Jane bagi acara beregu wanita bersama Shalin Zulkifli dan Safiyah dalam acara keseluruhan wanita.

“Kami masih lagi dalam fasa kejohanan dan ia adalah saingan individu tetapi kami akan menikmati saingan ini,” kata Siti Safiyah.

“Beraksi di Korea adalah kejohanan terakhir buat saya, ia merupakan saingan jemputan dan saya tidak akan meletakkan terlalu banyak tekanan.

"Kami akan berdepan ramai pemain profesional dari Korea manakala wakil dari Amerika Syarikat akan turut hadir,” kata Li Jane.

Turut mengiringi kedua-dua atlet itu ke Korea nanti ialah Shalin, Rafiq Ismail dan Timmy Tan dengan kesemuanya akan beraksi dalam acara individu dalam kejohanan dari 17 hingga 21 Disember itu.