Di sebalik kemelut kewangan yang dihadapi, atlet boling tenpin wanita negara, Sin Li Jane, mengambil keputusan mengeluarkan bajet sendiri untuk ke Piala Dunia AMF di Las Vegas yang bakal bermula Ahad ini.

Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) mengesahkan hanya Li Jane akan menggalas cabaran dalam Piala Dunia edisi ini.

Menyedari kemelut kewangan dialami apabila MTBC masih belum memutuskan skuad lelaki akan dihantar ke Kejohanan Dunia atau tidak, Li Jane terlebih dahulu mengambil keputusan mengeluarkan peruntukan sendiri sekitar lebih RM6,000 ke Las Vegas.

Keinginan yang terlalu tinggi untuk merangkul gelaran atlet wanita pertama menjuarai Piala Dunia mendorong keputusannya untuk tetap ke sana walaupun terpaksa menggunakan perbelanjaan sendiri.

"Salah satu kelebihan adalah hanya pemain kebangsaan dapat beraksi dalam Piala Dunia dan Kejohanan Dunia.

"Saya terlalu menginginkan peluang untuk beraksi di sana dan saya harap dapat membawa pulang kejayaan.

"Saya akan berada di Las Vegas beberapa hari lebih awal dan itu akan melibatkan perbelanjaan saya sendiri," kata Li Jane.

Tiada lagi atlet wanita yang berjaya mengungguli pentas Piala Dunia dengan pencapaian terbaik hadir daripada Li Jane, Shalin Zulkifli dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman yang meraih perak manakala Syafiq Ridhwan satu-satunya atlet lelaki yang merangkul emas pada tahun 2012.

"Pencapaian terbaik saya dalam Piala Dunia adalah kedudukan kedua, jadi saya mahu memanfaatkan peluang ini untuk memberikan aksi terbaik," tambah Li Jane.