Lepas jawatan jurulatih kepada Gillan demi Sarawak -- Pengiran Bala

Oleh Rudi Affendi Khalik 21 Disember 2017 1319
Lepas jawatan jurulatih kepada Gillan demi Sarawak -- Pengiran Bala
"Keputusan saya demi pasukan, demi Sarawak," ujar Pengiran Bala semalam, berhubung tindakannya menyerahkan tugas sebagai ketua jurulatih Sarawak kepada Ian Andrew Gillan, bulan lalu.

Katanya, cadangan melantik Gillan diluahkannya sendiri sewaktu sesi perbincangan bersama-sama Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais.

"Saya melakukannya dengan rela hati dan ikhlas. 

"Kebetulan, kami telah melantik Gillan sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) yang baru, kenapa tidak kami mengoptimumkan kemampuan beliau ... melatih pasukan senior Sarawak," katanya.

Dengan pengalaman yang ada, katanya, beliau yakin Gillan dapat memberikan sentuhan baru yang boleh membawa Sarawak pergi jauh.

Gillan, 52, pernah bersama-sama skuad Kedah sebelum ini selain memimpin Perth Glory FC.

Pengiran Bala, penjaring gol terpantas di Malaysia yang memiliki sijil kejurulatihan Kelas A, kini menggalas tanggungjawab sebagai penolong jurulatih.

Turut dilantik sebagai penolong jurulatih ialah bekas pengendali skuad Belia Sarawak, Mohd Safri Amit.

David Usop pula akan mengetuai pasukan pencarian bakat dengan tugas utamanya adalah sebagai jurulatih belia sambil dibantu Mohd Azli Abdullah.

Abdol Wahet Uji kekal sebagai Pengarah Kejurulatihan FAS.
 

Tentang Penulis

Rudi Affendi Khalik

Komen