Minat yang mendalam dalam sukan berbasikal sejak umur belasan tahun mendorong Mohd Mazuki Yusof untuk terus bergiat aktif meskipun bergelar pemain bola sepak profesional.

Pemain pertahanan T-Team yang berusia 35 tahun itu, dianggap legenda bagi penyokong setia di Terengganu selepas memegang lilitan ketua pasukan Sang Penyu selaku juara Piala FA 2011 sebelum berpindah ke T-Team.

“Saya mula menjinakkan diri dalam sukan berbasikal sejak berumur 15 tahun dan walaupun hanya suka-suka dan sekadar hobi, saya pernah mewakili pasukan lumba basikal negeri.

“Selepas bergelar pemain bola sepak, saya tetap meminati sukan berbasikal ini dan sering berkayuh bersama rakan-rakan mahupun berseorangan jika tiada latihan bersama T-Team,” ujarnya.

Mazuki ditemui selepas menjuarai acara kriterium kategori novis lelaki Junior Cycling Malaysia (JCM) Terengganu di Kuala Terengganu, semalam, mengatasi cabaran 50 pelumba lain untuk muncul pemenang dalam penyertaan sulung itu.

“Saya tidak sangka dapat memenangi acara ini kerana kategori ini turut disertai pelumba-pelumba yang lebih baik.

“Alhamdulillah, usaha saya tidak sia-sia dan inilah hasilnya,” tambahnya.

Mazuki mencatat masa 27 minit 15.89 saat dalam perlumbaan 12 pusingan itu manakala Muhamad Saifullah Jamal Alias dari Persatuan Lumba Basikal Tentera Udara Malaysia di tempat kedua (27:39.76s) dan Mohd Asri Mohd Amin ketiga (27:40.02s).