Pesilat negara, Zulfazly Zulfikar, bertekad untuk mengikut jejak langkah Mohd Al Jufferi Jamari bagi mencipta legasi tersendiri, sekali gus menyasarkan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019, November depan.

Walaupun pernah merangkul pingat perak dalam Kejohanan Dunia di Singapura tahun lalu, Zulfazly tidak mahu terlalu optimis mampu mengulangi kejayaannya, apatah lagi dia telah bertukar kategori kepada kelas D Putera.

Bagaimanapun, pesilat berusia 22 tahun itu tidak mahu mensia-sia kan penampilan pertamanya dalam Sukan SEA bagi membantu Malaysia mengumpul pingat tatkala dia menjadi antara sandaran selepas pengurangan mendadak acara yang bakal dipertandingkan.

"Pertama, saya akan cuba buat yang terbaik. Ini penampilan pertama saya, jadi saya mahu cuba dapatkan emas. Saya akan buat sehabis boleh," katanya.

Dalam masa sama, atlet berasal dari Johor itu menganggap ia merupakan tanggungjawab besar baginya selepas tuan rumah tidak menawarkan kategori kelas E Putera yang membabitkan juara dunia, Al Jufferi.

Dia percaya bimbingan jurulatih, Mazlan Shaari, mampu merealisasikan impiannya di Filipina selain perlu mengekalkan fokus dan menggandakan usaha dalam latihan.

"Sebenarnya, cabaran datang daripada Singapura atau Indonesia. Jadi, saya akan kaji persembahan mereka," tambahnya.