Ketua jurulatih skuad ping pong negara, Beh Lee Wei, berharap dapat mencari beberapa pemain untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan menerusi Kejohanan Kebangsaan dari 14 hingga 17 Disember nanti.

Persaraan dua tonggak senior, Shakirin Ibrahim dan Ng Sock Khim, menyaksikan skuad ping pong negara perlu segera merencana perancangan bagi mengisi kekosongan mereka.

Ketika ini, hanya Ashraf Haikal Rizal, Lee Rou You dan Ho Ying dilihat sebagai sebagai sandaran paling berpengalaman.

Salah satu pilihan sudah pasti menerusi pemain pelapis yang semestinya perlu mencapai potensi yang diharapkan.

Begitupun, Lee Wei juga menyedari terdapat pemain di peringkat negeri yang berpeluang diserapkan ke dalam skuad kebangsaan dan perlu menyerlahkan kemampuan mereka dalam Kejohanan Kebangsaan nanti.

“Prestasi pemain negara bertambah baik berbanding dahulu. Sebelum ini, kami kekurangan pemain dengan hanya memiliki masing-masing empat pemain lelaki dan wanita.

"Umur pemain ketika ini pun masih muda. Harapan ke atas mereka amat besar, namun semuanya terpulang kepada komitmen mereka,” kata Lee Wei.

Selain Kejohanan Kebangsaan, pemain-pemain negara juga akan terlibat dengan saingan Terbuka Malaysia yang berkemungkinan dilangsungkan pada hujung bulan depan.

Sementara itu, Lee Wei enggan terlalu memberi tekanan kepada pemain-pemain negara, khususnya dalam persiapan untuk menghadapi Sukan Komanwel di Gold Coast, tahun depan.

Antara dalam perancangan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) sudah pasti latihan di luar negara dengan China dijangka menjadi destinasi pilihan.

"Untuk memenangi sebarang pingat mungkin agak sukar memandangkan usia (pengalaman) mereka ketika ini.

"Bermula tahun depan, mereka akan mula memberi fokus kepada program menghadapi Sukan Komanwel 2018 dan kami mungkin akan berlatih di luar negara," katanya.