Cabaran Pengembaraan Kiulu (KAC) kembali untuk edisi ketiga tahun ini dengan seramai 600 peserta, termasuk dari luar negara, dijangka menyertainya.

Kejohanan yang turut disokong Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) serta Persatuan Pelancongan Kiulu itu akan berlangsung di Pekan Kiulu pada 3 Disember depan.

Pelbagai aktiviti lasak dan menarik akan diadakan sempena pengembaraan itu, termasuk acara utama, iaitu larian dan berbasikal yang akan menyusuri sepanjang Sungai Kiulu, serta water rafting.

Bagi kategori larian dan berbasikal, ia terbuka kepada wanita dan lelaki serta veteran berusia 45 tahun ke atas manakala kategori berkumpulan pula harus menghabiskan kesemua acara, iaitu larian, berbasikal dan water rafting.

Pelepasan peserta akan diadakan di Rumah Tradisi Kiulu di Pekan Kiulu pada ‪jam 6‬ pagi.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, berkata setakat ini seramai 450 penyertaan sudah diterima dan tarikh tutup penyertaan adalah ‪pada 25 November‬ ini.

"Apa yang menarik dan uniknya acara ini ialah peserta yang menyertai acara berbasikal sejauh 30 kilometer (km) serta larian (13km) akan menyusuri Sungai Kiulu, yang terkenal sebagai sungai bersih dan cantik di negara ini.

"Peserta berpeluang menikmati keindahan sungai itu dan melalui beberapa kampung di Kiulu, antaranya Kampung Ranap, Poturidong, Gamut, Ranau-Ranau dan Nolitang," katanya dalam sidang media di Kota Kinanalu, hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Dr Edmon Guntis.