Lebih 400 sertai Cabaran Ruhiang-Kiulu Adventure

Oleh Staff Writer 14 Disember 2016 2
Lebih 400 sertai Cabaran Ruhiang-Kiulu Adventure
Lebih 400 peserta dijangka menyertai siri larian Cabaran Ruhiang-Kiulu Adventure di Kiulu, 15 Januari, tahun depan.

Kejohanan edisi keenam yang dianjurkan bersama Casero Events dan Pejabat Daerah Tamparuli itu bakal mempertandingkan beberapa kategori membabitkan larian sejauh 10 dan 23 kilometer.

Setiap larian dibahagikan kepada kategori terbuka lelaki, terbuka wanita, lelaki veteran serta wanita veteran.

Pengarah perlumbaan, Steve Johnny Mositun, berkata penyertaan kali ini amat memberangsangkan apabila melebihi sasaran awal iaitu seramai 300 peserta.

"Setakat ini, seramai 436 telah mendaftar dan saya jangka ianya akan mencecah 500 peserta menjelang tarikh tutup pada minggu ini.

"Seperti sebelum ini, larian sememangnya sangat mencabar apabila para peserta perlu merentasi beberapa kampung, laluan kebun getah, jalan tidak beturap dan yang paling mencabar mendaki serta menuruni bukit Ruhiang," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Steve berkata, cabaran kali ini hanya memfokuskan kepada larian berbanding sebelum ini, acara berbasikal turut disertakan.

"Bagaimanapun, kita akan turut menganjurkan siri berbasikal untuk cabaran sama pada sekitar tahun depan," katanya yang juga Pengarah Urusan Casero Events.

Hadiah bagi setiap kategori bagi larian 23km ialah RM1,000 bagi tempat pertama, RM600 bagi tempat kedua dan RM400 untuk tempat ketiga.

Sementara itu, bagi larian 10km, pemenang tempat pertama akan membawa pulang wang tunai RM500, tempat kedua RM400 manakala ketiga RM300.

Selain itu, semua pemenang dari tempat keempat hingga ke-10 bagi setiap kategori akan turut mendapat hadiah wang tunai.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen