Lebih 150 sertai MTB sempena PSKPPS

Oleh Staff Writer 6 November 2016 16
Lebih 150 sertai MTB sempena PSKPPS
Seramai 150 peserta memeriahkan Jambori Mountain Bike (MTB) sempena Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Sabah (PSKPPS) edisi pertama 2016.

Program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Kebagu Manggatal, Kota Kinabalu itu dianjurkan Unit Sukan Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama Kelab Peminat Basikal Sabah (KPBS); Kelab Sukan Berbasikal Sulaman Tuaran (GSB) dan Darau Cycling Team (DCT).

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan, lelaki lerbuka; wanita terbuka dan lelaki veteran membabitkan kayuhan sejauh 30 kilometer.

Kejohanan kali ini menyaksikan kategori lelaki terbuka dimenangi Frisco Daniel (Johan-Utara); Ignatius Ranggang (Selatan) dan Muhammad Ishak Noor Muhammad (Pedalaman).

Sementara itu, kategori wanita terbuka dimenangi Alesia Suraya (Johan) yang mewakili ibu pejabat JPNS; Chong Kong Ling (Utara) dan Aton Kuintin (Utara).
  
Kategori lelaki veteran pula dimenangi Rosland Salleh Johan yang mewakili bahagian Selatan; Roslee Uloi (Tenggara) dan Ahmadait Dullah (Utara).
  
Pegawai Unit Sukan Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPNS, Muhamad Zaineh Jali, berkata pelaksanaan edisi kali pertama itu adalah sebagai pengenalan kepada penganjuran sepenuhnya tahun depan yang akan berlangsung di bahagian Selatan di daerah Beaufort.
  
"Meskipun PSKPPS sudah dilaksanakan begitu lama, namun pada tahun ini kami memperkenalkan sukan berbasikal yang begitu diminati ramai, termasuklah kakitangan JPNS dan guru sekolah.
  
"Pada tahun ini, kiraan pemenang adalah secara individu dan tidak dikira mengikut mata, namun pada tahun depan ia akan dilaksanakan sepenuhnya," katanya ketika ditemui pada program itu, hari ini.

Muhamad Zaineh berkata semua peserta yang menyertai terpaksa melalui 80 peratus laluan berturap manakala selebihnya adalah laluan berlumpur.
  
"Kami memilih laluan di sini kerana kurangnya kenderaan selain dapat mengurangkan kesesakan di kawasan bandar.
  
"Namun, pihak penganjur juga ingin memohon maaf jika terdapat sebarang kekurangan sepanjang penganjuran edisi pertama kali ini," katanya.

Terdahulu, majlis pelepasan peserta dan penyampaian hadiah disempurnakan Setiausaha Politik Kementerian Kewangan Sabah, Mohd Joh Wid.
 
Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Unit Sukan Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPNS Zainal Madi dan Pegawai Unit Pembangunan Kemanusiaan PPD Kota Kinabalu Masdi Mus.
  
Tujuh bahagian bertanding ialah Ibu pejabat JPNS; Bahagian Barat (Kota Kinabalu,Tuaran, Ranau, Penampang) ; Utara (Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Pitas);Selatan (Papar, Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu); Pedalaman (Keningau, Tambunan, Tenom, Nabawan); Tenggara (Tawau, Semporna, Lahad Datu);Sandakan (Sandakan, Kinabatangan, Telupid, Kunak).
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen