Pemain ragbi kebangsaan, Lawrence Petrus, dari Sabah perlu menunggu sebulan lagi untuk membuat penampilan sulung pada Liga Ragbi Australia Barat bersama pasukan University of Western Australia (UWA).

Pemain berusia 25 tahun itu berlepas ke Perth pada pertengahan Mac lalu untuk mengukir nama sebaris dengan pemain negara, Marc Lee, K. Dinesvaran dan Amin Jamaluddin yang bermain secara profesional di luar negara.

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 dan sekatan pergerakan oleh kerajaan Australia memaksa liga tersebut ditangguhkan dan anak kelahiran Tawau itu terpaksa menunggu lebih lama untuk mencapai impiannya.

Dalam perkembangan terbaru, kerajaan negara itu mula melonggarkan sekatan secara berperingkat dengan membenarkan perkumpulan sehingga 10 orang, aktiviti kontak dibenarkan mulai 15 Mei dan pertandingan sukan mulai 5 Jun ini.

“Malang untuk saya berdepan dengan sekatan (lockdown) dan tidak boleh bermain ragbi serta menjelajah bandar raya Perth. Namun, saya tidak mudah mengalah kerana COVID-19. Syukur Tuhan untuk berkat yang diberikan. Saya melakukan senaman tambahan pada hari cuti rehat untuk mengekalkan kecergasan.

“Sebelum ini, latihan kami adalah sesi satu sama satu untuk penyesuaian dan kemahiran tetapi kini boleh menjalankan latihan secara berkumpulan (sehingga 10 orang) pada satu-satu masa. Tetapi kami dinasihatkan supaya mengamalkan penjarakan sosial dan tidak berkongsi peralatan seperti bola ragbi,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Selepas memainkan watak penting dalam skuad negara pada Divisyen Premier Kejohanan Asia (ARC) sejak dua tahun lalu, pemain keturunan Kadazan dengan ketinggian 178sm itu, bercita-cita untuk meningkatkan kemampuannya dengan bersaing bersama barisan pemain handalan di Australia.

“Saya ingin berada dalam kelompok pemain terbaik...menjadi teladan kepada semua pemain muda dan tidak mudah mengalah sebelum perjuangan berakhir. Oleh itu, perlu lebih bijak dan meningkatkan kekuatan.

“Seperti anda tahu, fizikal pemain di sini lebih besar, oleh itu saya perlu meningkatkan keyakinan diri dan percaya kepada proses yang dilalui di sini. Selain itu, perlu berusaha dengan pendekatan dan sikap terhadap perubahan baharu di sini,” kata Lawrence yang lebih dikenali sebagai ‘bulldozer’ dalam kalangan pemain.

-- BERNAMA