Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, menganggap misi memburu pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan semakin sukar dengan kehadiran pelumba Belanda, Harrie Lavreysen, yang merangkul pingat emas acara keirin dan pecut individu dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Jerman, yang berakhir semalam.

Pelumba kelahiran dungun itu berada di landasan yang tepat untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo dengan meraih pingat gangsa acara keirin dan pecut di Berlin.

Ia membuktikan bahawa pelumba berusia 32 tahun itu akan melangkah ke Tokyo sebagai salah seorang pencabar utama dengan membawa misi menamatkan penantian pingat emas selama 64 tahun negara dalam temasya terbesar itu.

Namun, kehadiran Lavreysen, yang mengukuhkan cengkaman sebagai pelumba muda terbaik, menambah cabarannya.

"Apa yang paling penting ialah tempoh lima bulan selepas ini merupakan tempoh yang amat getir.

"Kami akan fokus kepada perancangan terakhir kami.

"Ia nampak berkesan, jadi kami akan meneruskannya sehingga Sukan Olimpik Tokyo," katanya.

Dalam Sukan Olimpik Rio 2016, pelumba Great Britain, Jason Kenny, mendominasi acara pecut dan Keirin.

Apa yang melegakan, masih ada tempoh empat bulan untuk Azizulhasni melakukan persiapan termasuk menyesuaikan diri dengan basikalnya yang berharga lebih RM300,000.