Pemain futsal negara, Saiful Nizam Ali, menyifatkan latihan di Croatia sebagai perkara positif untuk menguji ketahanan fizikal semua pemain bagi menghadapi Kejohanan Futsal AFC di Taiwan, Februari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail, semalam mengesahkan skuad negara akan membuat persiapan di Croatia sebelum berlepas ke Taiwan.

Dalam kunjungan ke Croatia, skuad bimbingan Chiew Chun Yong itu merancang untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan menentang Hungary, England dan Bulgaria dari 17 hingga 23 Januari depan.

"Kita tahu negara-negara Arab, pemainnya lebih besar. Bagusnya kalau kami pergi berlatih di Eropah, kami boleh berlawan fizikal dengan mereka.

"Ia kerana tahap fizikal mereka menyamai pemain pasukan-pasukan Arab. Kami juga tidak tahu prestasi semasa mereka," kata Saiful.

Skuad negara pernah menjalani latihan di Eropah seperti di Sepanyol sebelum ini dan ternyata ia menjadi pendedahan berguna untuk tempoh masa panjang berdasarkan prestasi semasa pemain.

Apa pun, Nizam yang beraksi di posisi pivot berharap mampu memikat Chun Yong untuk dipanggil menyertai kem latihan pusat itu dalam usahanya membuat penampilan ketiga di pentas AFC sejak 2014.