Atlet karate Sabah yang beragama Islam diberikan pengecualian untuk menjalani latihan, namun disarankan untuk mencuba melakukan yang terbaik bagi mengekalkan kecergasan tanpa mengganggu ibadah puasa.

"Kami memberikan sedikit kelonggaran kepada atlet yang beragama Islam, namun saya harap mereka akan cuba mengekalkan kecergasan di bulan Ramadan ini.

"Bagaimanapun, latihan masih diteruskan seperti biasa untuk atlet bukan Muslim sepanjang bulan Ramadan dan latihan masih dibuat di rumah masing-masing kerana masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Apapun, latihan belum lagi begitu berat, terutama untuk atlet Sukma (Sukan Malaysia) kami kerana Sukma 2020 di Johor hanya akan diadakan tahun depan," kata Setiausaha Agung Persatuan Karate Sabah (SKA), Julian Chin.

Tambahnya, program latihan termasuk jadual latihan pusat akan disusun semula selepas PKP berakhir.

Sementara itu, SKA juga masih menunggu keputusa Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) berhubung penganjuran edisi ke-40 Kejohanan Karate Senior Kebangsaan Terbuka MAKAF 2020 yang telah ditunda.

Sabah sepatutnya menjadi tuan rumah kejohanan itu pada Jun depan tetapi ia telah ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.