Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Abdul Latif Romly, yakin dia tidak akan menghadapi masalah untuk melayakkan diri ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berdasarkan catatannya ketika ini.

Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, Mac tahun depan, menjadi medan terakhir bagi semua atlet olahraga negara melayakkan diri ke Sukan SEA.

Bagi Latif, syarat kelayakan 7.51 meter boleh dicapai berdasarkan prestasi semasanya di dalam latihan.

Dalam Sukan Paralimpik Rio, Latif melakar 7.43 meter dalam acara lompat jauh T36 untuk memecah rekod dunia Paralimpik dan membawa pulang emas untuk negara.

"Saya bimbang kalau kecederaan datang kembali kerana saya mempunyai pengalaman cedera di bahagian belakang dan lutut. Itu sahaja yang merisaukan saya," katanya.

Dia juga tidak berasa berbeza apabila bertanding bersama atlet normal kerana sudah kerap menyertai kejohanan peringkat kebangsaan, termasuk Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, Julai lalu.

Latif akan kembali menyambung latihannya Januari depan bersama jurulatih, Syahrul Amri Mohd Sulaiman, selepas pulang dari mengerjakan umrah.

"Sekarang ini persaingan tiada masalah. Mungkin tahun depan jurulatih akan mengubah program sebab tahun depan ada Kejohanan Dunia, Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN," tambahnya.

Pencapaian terbaik Latif

• Emas Sukan Paralimpik Rio 2016 (Rekod Dunia : 7.60m)
• Emas Kejohanan Dunia 2015
• Emas Sukan Para Asean 2015
• Emas Sukan Para Asia 2014