Kekurangan kejohanan antarabangsa tidak mematahkan semangat atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, dalam misi mendapatkan kembali lompatan terbaik sebelum saingan sebenar dalam Sukan Para Asia 2018.

Setakat ini, tiada perancangan ke luar negara untuk Latif, di mana kejohanan antarabangsa terakhir yang disertainya adalah Grand Prix Para Dunia Terbuka Itali 2018, menyaksikannya meraih emas dengan catatan 7.23 meter pada Mei lalu.

Justeru, dia perlu mencari jalan sendiri dalam mencari momentum dan teknik lompatan terbaik, apatah lagi selepas pulih daripada kecederaan paha kanan, Mac lalu.

Tidak ke luar negara bukan lagi alasan untuk Latif terus bergantung kepada kejohanan antarabangsa semata-mata, dengan kini hanya menekankan aspek latihan yang lebih berkesan.

"Ketika aksi di Itali, saingan tidak begitu mencabar dan hanya Singapura yang menjadi lawan paling hebat. Saya ke sana juga hanya untuk mendapatkan ranking dunia selain memperbaiki teknik dan kelajuan ketika beraksi," katanya.

Menjelang Sukan Para Asia pada Oktober, pemenang emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu hanya berwaspada terhadap seorang lawan sahaja dari Singapura, iaitu Suhairi Suhani, yang dilihat mampu memberi cabaran getir di Jakarta dalam misi merampas pingat emas.

"Saya akan cuba memecahkan rekod Sukan Para Asia. Mengenai Suhairi, saya nampak saingan yang akan diberikannya, dia lebih mencabar berbanding atlet lain."