Atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, bimbang dengan kecederaan berulang yang dialaminya akan menafikan penyertaannya dalam Kejohanan Olahraga Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) Grand Prix Asia di Dubai, Mac tahun depan.

Kecederaan buku lali yang dialami Latif masih lagi terasa walaupun sudah melewati proses pemulihan sebaik tamat Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, September lalu.

Ada kegusaran daripada Latif sekiranya sekali lagi terlepas peluang untuk beraksi dalam Grand Prix IPC selepas gagal melakukannya pada tahun ini, juga kerana masalah kecederaan.

"Ketika melakukan lompatan, buku lali saya berasa sakit. Saya tidak betul-betul kuat. Jurulatih pun menyuruh saya pulihkan sepenuhnya kalau mahu menyertainya berlatih," katanya.

Tegas Latif, ia kejohanan penting secara peribadi bagi menentukan prestasi terkininya selepas usaha untuk mengatasi rekod kebangsaan yang dipegang Mohd Zaki Sadri, 7.85m, dalam Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN jauh tersasar.

Ketika ini, catatan terbaik Latif adalah 7.60m yang dilakukannya dalam Sukan Paralimpik Rio tahun lalu.

"Saya agak risau kerana ia (kecederaan) mengganggu persembahan saya ketika berlatih. Kalau saya berikan tekanan, ia sakit semula," katanya.