Larian Pisompuruan 2019 di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, hari ini, menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia ke-56 tahun ini.

Sebelum acara larian bermula, suasana Kompleks Sukan Likas turut bergema seketika apabila lebih 3,500 peserta bersama-sama menyanyikan lagu Sabah Tanah Airku dan Negaraku.

Acara pelepasan larian kemudian disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, sambil diiringi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick, serta pengerusi penganjur kejohanan, Felix Joseph Saang.

Larian sejauh 10 kilometer tahun ini itu yang memasuki edisi keempat menerima penyertaan lebih ramai berbanding 3,000 peserta tahun lalu.

Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan, termasuk pameran daripada Muzium Negeri Sabah berkenaan dengan Pembentukan Negara Malaysia, jualan 'food truck,' gerai pameran, jualan makanan dan yang paling menarik, cabutan tiket bertuah dengan hadiah utamanya ialah sebuah motosikal.

Beberapa artis tempatan turut memeriahkan lagi Larian Pisompuruan tahun ini, antaranya Rey Kimara, Felix Agus dan juga juara pertandingan Asean Song Contest 2019, Rosario Ninih Chamini Bianis.