Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mike sudah empat kali bergelar Mr. Universe dan lima kali bergelar Mr. Asia, namun masih kempunan untuk bergelar Olahragawan Kebangsaan.

Bekas jaguh negara bina badan negara seperti Datuk Malek Noor dan Sazali Samad pernah diberikan gelaran itu selepas menjulang kejayaan sama.

Adakah Mike juara kelas kedua?

Pencapaian mereka hampir sama tetapi mengapa Mike tidak menerima layanan sama seperti Malek atau Sazali?

Adakah kerana beraksi dalam kategori fizikal badan menjadikan Mike dianggap juara kelas kedua?

Tugas mudah untuknya bergelar Olahragawan Kebangsaan kerana hanya tiga atlet negara menjadi juara dunia sepanjang tahun lalu dan peluangnya lebih cerah kerana turut bergelar juara Asia.

Adakah Mike benar-benar layak untuk menerima pengiktirafan itu?

"Untuk Anugerah Olahragawan Kebangsaan, saya berharap dapat rasa (penghormatan) itu walaupun sekali kerana saya sudah tiga tahun berturut-turut disenaraikan.

"Kalau diikutkan pencapaian saya dalam empat hingga lima tahun ini, saya rasa layak jugalah.

"Gelaran Olahragawan Negara penting untuk saya kerana ia akan meningkatkan semangat atlet muda untuk menyertai sukan fizik seperti ini.

"Jadi, ia penting untuk menaikkan imej sukan bina badan negara," katanya.

Pencabar terbesarnya adalah atlet wushu, Chuah Shang, selaku juara dunia dalam acara xing yiquan.

Tetapi harus diingat, Mike juga adalah juara Asia.

Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara akan bersidang bulan depan.

Adakah Mike akan mendapat pengiktirafan sama seperti Malek dan Sazali atau dia akan terus bergelar juara kelas kedua?

"Program untuk sukan bina badan bukannya satu program yang berterusan," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Ia sudah dimaklumkan kepada semua atlet (bina badan), termasuk persatuan.

"Kami mempunyai peruntukan untuk mereka menyertai hampir kesemua kejohanan dunia dan Asia.

"Ia disalurkan melalui persatuan.

"Jadi, saya rasa elok sekiranya dibincangkan bersama persatuan semula dengan sebaik mungkin," katanya.

Mike, dalam pada itu, menolak dengan sekeras-kerasnya bahawa kejohanan bina badan hanyalah kejohanan sampingan.

"Oh, tidak, tidak sama sekali.

"Bina badan bukan kejohanan sampingan.

"Jika ia kejohanan sampingan, dalam pungutan pingat negara, ia tidak akan dikira.

"Jadi, apabila dikira dalam pungutan pingat, ia bukanlah sukan sampingan," katanya.


Editor: Muzaffar Musa