Lantik jurulatih luar bukan jaminan kejayaan -- Jegathesan

Oleh Penulis Jemputan 23 Disember 2018 108
Lantik jurulatih luar bukan jaminan kejayaan -- Jegathesan
"Terpulang kepada atlet.”

Itu pandangan bekas pelari pecut negara, Tan Sri Dr. M. Jegathesan, mengenai pengaruh jurulatih asing untuk skuad olahraga mendominasi Sukan SEA Filipina tahun depan dan melepasi had kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.


Tindakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) melantik jurulatih pecut dari Amerika Syarikat, David Patrick, bukan jaminan untuk berjaya tatkala ia terpulang kepada cara atlet memahami teknik baru berbanding yang diajar oleh tenaga tempatan seperti Mohd Poad Kassim dan M. Balamurugan.

Keputusan itu juga bukan jaminan untuk skuad olahraga mengatasi kutipan lapan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu selain melepasi had kelayakan Olimpik Tokyo.

"Apabila anda melihat kepada isu ini, kebanyakannya datang daripada individu itu sendiri. Ia bergantung kepada impian, usaha serta komitmen yang dimiliki, jadi ia tidak bergantung kepada individu yang mengawasi mereka.

"Setiap kejohanan yang disertai harus dilihat sebagai satu sasaran utama," katanya.

Jegathesan masih memegang rekod pelari pecut tunggal negara yang layak ke separuh akhir acara 200 meter Sukan Olimpik Mexico 1968.

Kehadiran Patrick dijangka membantu Khairul Hafiz Jantan mempertahankan emas 100m lelaki Sukan SEA serta Zaidatul Husniah Zulkifli bagi memecah rekod kebangsaan wanita, iaitu 11.50 saat.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen