Bekas Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, mencadangkan KL Sports City dijadikan zon larangan merokok selepas Institut Sukan Negara (ISN) memberi amaran untuk menggugurkan atlet Program Podium jika didapati mengamalkan tabiat itu.

Mazlan menyambut baik langkah ISN, namun perlu diselaraskan dengan lebih menyeluruh, sekaligus
menyifatkan KL Sports City patut dijadikan zon larangan merokok agar semua pihak menjaga imej sukan negara yang bersih daripada amalan itu.

Malah, ia akan menghasilkan keputusan lebih positif berbanding jika hanya membabitkan atlet Program Podium.

“Mungkin ini satu cara buat perokok-perokok untuk meninggalkan tabiat mereka. Bila pergi ke Bukit Jalil, terpaksa tinggalkan rokok dan tidak dibawa.

“Ia satu latihan yang terbaik untuk perokok berhenti kerana ia bukan sesuatu yang mudah. Saya tahu tentang perkara itu,” katanya.

Perkara itu diakui mampu membantu usaha untuk membanteras kegiatan perokok selepas Mazlan sendiri meninggalkan tabiat itu, 17 tahun lalu.

Pengerusi ISN, Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi, Jumaat lalu mengumumkan atlet Program Podium akan digugurkan jika didapati merokok menerusi saringan yang akan dijalankan bermula 2018.

Ia mendapat reaksi positif atlet menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia, tahun depan.