Landas rampas gelaran Raja Sungai Sarawak

Oleh Rudi Affendi Khalik 19 November 2017 495
Landas rampas gelaran Raja Sungai Sarawak
Pasukan Landas yang mewakili Jabatan Tanah dan Survei Sarawak menunggu tujuh tahun untuk merampas kembali keunggulan Raja Sungai Sarawak dalam aksi Regata Sarawak 2017 yang berakhir petang tadi.

Dalam pertarungan 30 pengayuh perahu Bidar lelaki sejauh 1,500 meter bagi merebut Piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu, pengayuh perahu Landas 11 mencipta 7 minit 40 saat untuk muncul juara, diikuti perahu Yayasan Sarawak Puteri Dang Balai dan Landas 31.

Kemenangan tersebut membolehkan Landas membawa pulang habuan RM16,000, termasuk RM10,000 selaku juara. Yayasan Sarawak sekadar membawa pulang wang tunai RM8,000.

Turut mencuri tumpuan ialah aksi kayuhan bersejarah Bidar 20 lelaki kategori kenamaan, yang dilepaskan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Perahu milik Yang di-Pertua dan Sultan Negara Brunei Darussalam, yang dikayuh sendiri oleh Sultan Hassanal Bolkiah muncul johan dengan mencatat 9m 26s.

Ini diikuti perahu milik Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Timbalan Ketua Menteri 3.

Keputusan lain menyaksikan Sinaran Keris Jang memenangi kategori Bidar 25 pengayuh lelaki manakala Armada Pemuda menjuarai Bidar 20 pengayuh lelaki dan Kenyalang 20 pengayuh lelaki.

Armada Pemuda yang mewakili Samarahan turut memenangi Bidar 20 pengayuh lelaki Antara Bahagian manakala Keris Terbang Sungai Maong mengungguli Bidar 20 pengayuh campuran (15 lelaki, 5 wanita).

Uniknya regata di Tebingan Kuching ini, ia merupakan simbol perpaduan dan tidak pernah gagal diadakan sejak 1872, ketika Sarawak masih di bawah pemerintahan Rajah James Brooke.

Untuk tujuan perlumbaan ini, Sultan Hassanal Bolkiah mencemar duli untuk tiba di Kuching sekitar jam 12.30 tengah hari tadi sebelum terbang balik ke Bandar Seri Begawan pada jam 5 petang.

Tentang Penulis

Rudi Affendi Khalik

Komen