Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi, lega apabila
Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) memberikan lampu hijau untuk atletnya menuntut
ujian sampel B dilakukan di New Delhi, India walaupun kes itu sudah empat bulan berlalu.


Ketika ini, PMM sedang menunggu maklum balas makmal ujian doping di New Delhi mengenai
tarikh paling sesuai untuk menjalankan ujian sampel B.

Ia satu perkembangan positif walaupun sebelum ini, Adamas mendakwa tarikh untuk berbuat
demikian sudah berlalu.

Bagaimanpun, PMM dan Adamas tetap mencuba pada saat-saat akhir sehingga rayuan mereka
berjaya.

“Yang pertama, kami sangat bersyukur ia adalah bukan daripada kelompok lima atlet Sukan SEA
yang meraih pingat tetapi sebelum Sukan SEA dan saya rasa makmal New Delhi akan
memberikan maklum balas pada minggu depan mengenai atlet muay thai,” kata Shahnaz.

Situasi itu berlaku selepas seorang atlet muay thai negara dikesan positif bagi diuretics, sebulan
sebelum bermulanya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas dia dikatakan mengambil pil
perangsang seks.

Namun, PMM tidak merancang menghantar atlet itu menyaksikan ujian sampel B berkenaan bagi
menjimatkan kos.

“Kami memilih untuk meneruskan dengan ujian sampel B tanpa kehadiran atlet ke sana.

“Kami akan mempunyai saksi bebas di sana. Kami sudah memaklumkan kepada pihak Adamas
dan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) di New Delhi,” tambahnya.