Senarai pelatih bagi kem latihan pertama futsal akan diputuskan bulan depan selepas pengendali skuad negara, Chiew Chun Yong, menilai prestasi pemain dalam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) bermula Sabtu ini.

Meskipun hanya sembilan pasukan bagi kategori lelaki yang akan beraksi dalam MPFL kali ini, jurulatih itu tidak mahu menjadikannya sebagai alasan gagal membentuk skuad negara yang mantap.

Individu yang tercalon dalam senarai jurulatih terbaik dunia bagi Anugerah Umbro Futsal 2017 itu bakal meneliti prestasi barisan pemain kerana tidak mahu terlepas khidmat bakat muda untuk dipertaruhkan dalam Kejohanan AFF di Vietnam, Oktober depan.

"Barisan pemain agak terhad tetapi ia bukan alasan untuk saya gagal menyediakan pasukan yang kuat. Ia adalah edisi pertama MPFL, jadi saya mahu melihat penambahan pasukan dalam saingan seterusnya," katanya ketika ditemui dalam majlis pengumuman rakan penaja rasmi MPFL 2019 yang akan berlangsung selama tiga bulan bermula 22 Jun hingga 29 September depan.

Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Kay, berharap penajaan siaran langsung saingan MPFL mampu menarik minat pengikut sukan futsal Malaysia.

"Buat futsal, ia sukan yang popular di Malaysia dan ramai yang bermain futsal. Saingan ini mampu menarik ramai orang untuk menyertai futsal. Ia juga menawarkan sesuatu yang menarik buat semua," ujar Choong Kay.