Kekurangan tempoh latihan tidak menggugat atlet menembak PDRM, Hafiz Adzha, untuk menjuarai acara 25 meter standard pistol dalam Kejohanan Menembak Terbuka Selangor 2017 di Lapang Sasar Menembak Subang hari ini.

Hafiz, yang juga bekas atlet kebangsaan, menjadi antara pilihan dalam acara ini di samping Hasli Izwan Amir Hassan.

Ternyata bidikan konsisten yang dilakukan oleh Hafiz membantunya untuk kekal mendahului saingan sebelum menamatkan cabaran dengan 559 mata.

Mengekori rapat jumlah itu ialah penembak dari ATM, Khairul Azri Roslan, yang terpaksa berpuas hati dengan 551 mata untuk berada di kedudukan kedua.

Melengkapkan kedudukan podium ialah Muhammad Ridwan yang mewakili Pahang selepas mengumpul 541 mata keseluruhan.

Bagi Hafiz, kutipan 559 mata itu merupakan yang tertinggi dilakukannya sepanjang tahun ini.

“Ini merupakan kali pertama saya berjaya mencatatkan kutipan yang tertinggi sepanjang tahun ini. Teknik merupakan perkara yang paling penting dalam acara menembak,” katanya.

Hafiz akan terbabit dalam satu lagi acara, iaitu 25m rapid fire pistol, yang dijadualkan bermula esok.

Sementara itu, Hafiz tidak terlalu mengharapkan untuk kembali dalam skuad kebangsaan selepas kali terakhir mewakili negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

“Saya tidak berharap untuk kembali dalam skuad kebangsaan kerana masih lagi berkhidmat untuk pasukan PDRM. Jika saya dapat mengekalkan prestasi ini, terpulang kepada MSN untuk mendapatkan khidmat saya,” ujarnya.