Penyumbang tiga emas Sukan Para ASEAN 2015, Krishna Kumar Hari Das, bergelut dengan kesakitan di bahagian perut yang turut menjadi punca kejatuhan prestasi atlet itu dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, September lalu.

Namanya tidaklah segah seperti Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, namun dia antara atlet yang menyinar dan turut menjadi prospek utama negara untuk meraih pingat dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pada awalnya, kejatuhan prestasinya secara mendadak dalam temasya dwi-tahunan itu menjadi tanda tanya apa sudah terjadi dengan atlet kelahiran Melaka itu.

Dia bukan sahaja gagal mempertahankan tiga emas yang diraihnya dua tahun lalu, malah langsung tidak dapat menghabiskan larian dalam dua acara yang disertainya, iaitu 100m dan 200m T38.

"Nak berlari pun susah kerana ia bukan persembahan terbaiknya. Tetapi dia nak lari juga, jadi kami tidak mahu menahannya.

"Dalam kejohanan lalu, dia berlari dan terjatuh, kesakitannya bertambah teruk. Doktor ISN (Institut Sukan Negara) datang periksa dan mendapati perutnya bengkak," kata ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan.

Tambahnya, pemeriksaan awal pihak perubatan mengesahkan ada ketumbuhan di dalam perut Kumar, bagaimanapun keputusan rasmi tentang penyakit yang dialaminya hanya akan diketahui minggu depan.

"Kita tunggu keputusannya nanti. Semua pihak, termasuk MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN menyukainya kerana dia ada disiplin baik, mempunyai keinginan dan tidak pernah menimbulkan masalah. Semuanya baik.

"Tentang penyakit ketumbuhannya, kita akan tunggu keputusan rasmi daripada doktor," katanya.