Pelumba Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Elmi Jumari, boleh dianggap sebagai 'lelaki besi sukan basikal' apabila mencabar Jelajah Malaysia 2017 selepas membuat penampilan dalam acara trek dan BMX di pentas antarabangsa

Elmi mahu membuktikan bahawa dia adalah seorang pelumba serba boleh.

Perasaan cinta terhadap sukan berbasikal tidak membataskannya untuk bersaing dalam tiga acara, iaitu trek, BMX dan lebuh raya.

Atlet berusia 26 tahun itu membuat penampilan sulung dalam skuad kebangsaan dalam acara BMX pada 2009 sebelum menyertai trek dua tahun kemudian dan menyertai acara lebuh raya.

Elmi menyifatkan tahap kemahiran yang tinggi diperlukan bagi pelumba basikal menghadapi cabaran dan bersaing dalam acara BMX .

"Pada pendapat saya, acara BMX adalah yang paling sukar kerana kami perlu beraksi dalam litar yang kecil dan memerlukan teknik kemahiran yang tinggi," kata Elmi.

Melihat Azizulhasni Awang sebagai pencetus semangatnya, Elmi berazam untuk mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

"Idola saya adalah pelumba trek negara, Azizulhasni Awang, kerana dia memberikan semangat kepada saya untuk lebih maju dalam sukan ini," katanya.

Bersama pasukan PDRM, Elmi mahu memberikan tumpuan kepada saingan lebuh raya dan mahu menyertai beberapa lagi kejohanan pada masa akan datang.

"Saya memberikan tumpuan yang lebih kepada saingan lebuh raya kerana saya mewakil pasukan Polis Diraja Malaysia dan mereka telah memberikan pelepasan kepada saya untuk menjalani latihan bagi menghadapi kejohanan.

"Harapan saya untuk pasukan adalah cuba mencipta kejayaan dalam saingan Jelajah Malaysia kali ini di samping memberikan sokongan kepada rakan sepasukan yang lain," katanya lagi.