Walaupun tewas kepada Korea Selatan dan Hong Kong, prestasi yang dipamerkan oleh barisan pemain negara dalam Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019 meyakinkan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) untuk mengekalkan khidmat Brad Mika dengan harapan dapat melakar kejutan dalam edisi 2020.

"2019 merupakan tahun yang cukup baik buat skuad ragbi Malaysia tetapi banyak penambahbaikan yang perlu dibuat.

"Jadi, kami mengekalkan khidmat Brad Mika dalam ARC," kata Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Dalam masa sama, kedudukan jurulatih ragbi 7s masih menjadi tanda tanya apabila pasukan lelaki mahupun wanita gagal mencapai sasaran dalam Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember lalu.

Skuad ragbi 7s lelaki tewas dalam perlawanan akhir kepada tuan tumah, Filipina yang dibarisi semua pemain naturalisasi untuk berpuas hati dengan pingat perak manakala pasukan wanita mempertahankan gangsa yang diraih dalam Sukan SEA 2017.

"Kami masih belum membuat keputusan mengenai skuad ragbi 7s kerana masih menunggu sesi bersama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memperhalusi bedah siasat yang dibuat untuk Sukan SEA," katanya.
Tambahnya, tahun 2020 bakal melihat lebih ramai pemain ragbi Malaysia bakal berkelana dan beraksi di luar negara.

"Ini satu usaha yang berterusan bagi memberi peluang kepada pemain mendapat pendedahan bermain di peringkat profesional.

"Dan satu lagi perkembangan tahun depan yang memberangsangkan ialah (kami akan menyertai) Kejohanan Global Rapid Ragbi (GRR) yang akan membabitkan enam pasukan dari benua Asia dan Asia Pasifik."