Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan memastikan penjadualan beberapa pertandingan diatur lebih rapi bagi membantu persiapan skuad utama serta tujuh sepasukan (7s) menghadapi tugasan masing-masing pada 2019.

Tahun 2019 menyaksikan skuad utama serta 7s negara mempunyai tugasan penting, iaitu saingan Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC) serta Sukan SEA di Filipina.

Pengerusi Lembaga Pertandingan KRM dan juga Setiausaha Kehormat, Jamaluddin Salim, menjelaskan kalendar badan induk itu akan dimulakan dengan Liga Ragbi Malaysia (MRL) pada Februari.

Saingan itu menjadi antara persediaan awal buat skuad utama menghadapi musim kedua Divisyen Premier ARC yang dijadual pada Mei dan Jun.

"Kami telah berbincang dengan pihak penganjur kejohanan untuk mengatur jadual bagi memberikan peluang kepada pemain-pemain yang berstatus separuh masa dapat menjalani latihan yang secukupnya untuk membuat persiapan," katanya.

Sementara itu, Jamaluddin turut mengesahkan seramai 16 pemain yang berada dalam skuad 7s sudahpun menerima kontrak daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk program latihan 2019.

Berada dalam peringkat tiga struktur program latihan MSN, skuad 7s negara turut akan menyertai beberapa pertandingan, iaitu Borneo Sevens serta Trofi ARC sebagai persediaan ke Sukan SEA.

Susulan kejayaan meraih pingat emas dalam temasya Kuala Lumpur 2017, KRM meletakkan sasaran untuk mempertahankan pencapaian itu di Filipina nanti.

"Kami telah mengadakan mesyuarat dengan MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi mendapatkan kontrak untuk pemain sepenuh masa bagi membuat persiapan mempertahankan pingat emas Sukan SEA pada tahun depan."