Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) percaya tempoh Liga Ragbi Malaysia yang lebih panjang akan menjadi langkah terbaik untuk membentuk skuad ragbi 15 sepasukan negara bagi menghadapi Kejohanan Ragbi Asia (ARC).

Sebelum ini, skuad ragbi negara menamatkan Divisyen Perdana ARC 2019 di tempat terakhir buat tahun kedua berturut-turut.

Skuad Bunga Raya yang menghuni ranking ke-48 dunia itu gagal memenangi sebarang perlawanan ketika menentang Hong Kong dan Korea Selatan walaupun berjaya mengurangkan defisit mata dalam edisi 2019.

Bagaimanapun, Naib presiden KRM, Mohammad Fahmy Abd Jalil, yakin dengan cadangan memanjangkan tempoh saingan liga menerusi penglibatan sekurang-kurangnya 16 pasukan di seluruh negara, ia akan dapat membantu persiapan skuad kebangsaan.

"Pasukan negara masih lagi beraksi dalam Divisyen Perdana ARC, adalah besar harapan KRM untuk menjadikan langkah ini sebagai persediaan bagi menghadapi ARC yang akan datang," katanya.

Walaupun masih di tahap perbincangan, tambahnya, KRM optimis Liga Ragbi Malaysia, Ogos depan bakal mempamerkan saingan yang sengit.

"Kami bercadang untuk membentuk 12 hingga 16 pasukan dalam liga.

"Ia bergantung kepada kelab atau negeri yang mahu mengambil bahagian atau kami akan menghimpunkan pasukan divisyen 1 dan 2 bagi mengadakan liga yang panjang."



Editor: Shaiful Shamsudin