Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) terpaksa membuat 'pusingan u' apabila akan kembali menganjurkan saingan domestik selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran buat semua sukan yang mempunyai sentuhan fizikal bagi menganjurkan kejohanan bermula 15 Ogos depan.

Sebelum ini, KRM mengambil langkah drastik dengan membatalkan kesemua saingan tempatan ekoran penularan wabak COVID-19.

Namun dengan perkhabaran terbaru yang diumumkan oleh MKN semalam, KRM akan mengadakan mesyuarat khas Isnin ini bagi membincangkan status kejohanan yang boleh dianjurkan sebelum musim 2020 melabuhkan tirai.

Antara dua saingan utama yang berada dalam perancangan KRM adalah Liga Negeri dan Piala Agong.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada kesanggupan pasukan yang berminat untuk menyertainya.

"Kami perlu berbincang dan memberi masa dengan ahli gabungan untuk membuat keputusan sebelum membuat pengumuman sama ada kejohanan ini akan diteruskan atau tidak," kata Naib Presiden KRM, Mohamad Fahmy Abd Jalil kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri

Fahmy turut mendedahkan badan induk Ragbi Asia mungkin akan mengubah format pertandingan membabitkan pasukan negara dalam Kejohanan Ragbi Asia (ARC) tanpa perlawanan timbal balik.

Saingan tersebut dijangka bakal berlangsung November depan, namun masih tertakluk dengan polisi pintu sempadan negara yang terlibat.

Jika keadaan masih belum terkawal, Malaysia sepakat bersama Hong Kong dan Korea Selatan untuk menunda saingan berkenaan ke tahun depan.

"Kami telah berbincang bersama dengan Ragbi Asia dan bersetuju menunda ARC ke bulan Febuari tahun hadapan sekiranya wabak ini tidak dapat dikawal," katanya.