Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan menggunakan khidmat panel bebas untuk memantau perjalanan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan pemilihan exco penggal baru persatuan itu Sabtu ini dalam usaha untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

Beberapa persatuan yang mengadakan pemilihan sebelum ini dipalit dengan kontroversi, antaranya Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) hingga mengundang campur tangan daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Mengambil iktibar daripada situasi itu, KRM akan memastikan AGM penggal 2019-2022 itu menggunakan khidmat panel bebas yang terdiri daripada pegawai Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan juruaudit untuk memastikan perjalanan mesyuarat itu berjalan lancar.

"Kami menggunakan kaedah-kaedah yang begitu telus daripada segi pengiraan undi.

"Maknanya tiada sesuatu (yang meragukan) lagilah dalam pemilihan kali ini.

"Saya cukup yakin dan percaya pemilihan Sabtu ini akan berjalan lancar tanpa perkara-perkara yang tidak diingini," kata Naib Presiden KRM, Amir Mari Mohamad.

Setiap calon juga telah diberikan tempoh yang secukupnya untuk berkempen sejak Mei lalu bagi meyakinkan setiap perwakilan dengan manifesto masing masing.

"Setakat ini, tiada kem dalam KRM.

"Untuk jawatan tertinggi, seperti yang diketahui, terdapat dua calon bagi jawatan presiden dan naib presiden.

"Bagaimanapun, saya tidak nampak ada 'Kem A' atau 'Kem B'.

"Mereka hanya membentangkan perancangan masing-masing dalam suasana yang harmoni," tambah Ahli Majlis Tertinggi KRM, Fahmy Jalil, pula.