Kehangatan saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 kian terasa dengan setiap pasukan sudah bersedia untuk mengharungi saingan pra-perlumbaan di Kota Kinabalu hari ini.

Biarpun saingan sebenar hanya akan bermula di Kuching, Sarawak, Jumaat ini, perlumbaan kriterium Sabah yang membabitkan laluan sepanjang 86.7km itu terlebih dahulu mengambil tempat dan secara tidak langsung menyemarakkan lagi perlumbaan edisi jubli perak itu.

Setiap pasukan tetap akan bersaing sengit bagi merebut mata ranking yang ditawarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Setakat ini, masih belum ada kelibat pelumba CSF, Andrea Guardini, yang sudah digelar Mr Langkawi dalam saingan LTdL, yang mungkin tidak akan mengikuti perlumbaan esok.

Begitu juga pemenang jersi kuning edisi lalu, Benjamin Dyball, yang cemerlang ketika mewakili Team Sapura Cycling (Sapura) tahun lalu sebelum menyertai pasukan bertaraf jelajah dunia, NTT Pro Cycling dari Afrika Selatan.

Sebuah lagi pasukan, Giant Cycling Team, dari China pula menarik diri ekoran wabak novel koronavirus.

Ikuti perkembangan lanjut LTdL dalam Nadi Arena seterusnya.


Editor: Shaiful Shamsudin