Skuad kriket B-19 negara terpaksa akur dengan kehebatan India apabila kecundang dengan perbezaan 102 larian dalam aksi pembuka tirai Kejohanan Piala Belia Asia 2017 di Kinrara Oval, hari ini.

Reputasi India selaku juara bertahan semestinya menjadikan mereka pilihan dalam pertemuan itu. Mereka memilih untuk membuat pukulan terlebih dahulu dalam saingan yang menggunakan format 50 over.

Diterajui aksi cemerlang Himanshu Rana yang mencatat 107 larian keseluruhan, India semakin menjarakkan kedudukan sambil dibantu dengan pukulan kemas Salman Khan yang meraih 67 larian.

Meskipun pembaling negara cuba untuk memerangkap lawan, ia belum memadai, dengan India terus menambah koleksi larian untuk jumlah keseluruhan 310 larian.

Nyata, jumlah itu begitu besar untuk diatasi barisan pemain muda negara, namun mereka tetap cuba memberikan saingan.

Begitupun, skuad negara yang diketuai Virandeep Singh hanya dapat mengumpul 108 larian selepas kehilangan 10 wiket dalam over ke-37.

Malaysia seterusnya akan menentang Bangladesh di Pusat Kriket Bayu Emas, Klang, Isnin ini manakala India akan berdepan Nepal, Ahad ini.

"Ia satu pengalaman baik yang ditimba pemain saya. Sebenarnya, kami meletakkan sasaran tertentu, namun gagal mengekang mereka.

"Apapun, ini sebuah pasukan muda negara yang bagus dan tidak sabar untuk aksi Isnin ini," kata jurulatih B-19 negara, Suresh Navaratnam.