Skuad kriket B-19 negara tidak meletakkan sasaran tinggi dalam Kejohanan Kriket Remaja Asia ACC B-19 berikutan sebahagian pemain akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Saingan yang bakal bermula pada 11 November itu melibatkan 18 pemain negara, dengan 10 daripada mereka bakal menduduki SPM tidak lama lagi.

Justeru, Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Mahinda Vallipuram, mahu bersikap lebih terbuka untuk tidak meletakkan tekanan kepada pemain, sebaliknya memadai dengan memanfaatkan peluang
berkenaan untuk meraih pengalaman berguna.

Namun, itu tidak bermakna dia memandang rendah terhadap kredibiliti pemain dan tetap percaya mereka mampu memberi cabaran sengit kepada lawan.

"Cabaran paling besar adalah keyakinan diri. Saya tidak menafikannya. Pemain-pemain kita ada bakat, ada pengetahuan, ada komitmen dan mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Malaysia diumumkan menjadi tuan rumah untuk edisi kali ini selepas kali terakhir menganjurkannya pada 2012.

Sebanyak enam negara bakal menjadi pencabar Malaysia, iaitu Bangladesh, India, Sri Lanka, Pakistan, Nepal dan Afghanistan.

"Kami perlu mengharungi kejohanan dan sekurang-kurangnya memenangi satu perlawanan. Kami mesti jujur, dalam kejohanan ini kami perlu melihat dalam aspek pembangunan," katanya.