Kontinjen yang mengambil bahagian dalam temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2018 menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan Perak untuk melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin selaku tuan rumah.

Ini adalah kali pertama Perak menjadi tuan rumah untuk saingan Para Sukma.

Tugas sebagai penganjur Sukma, September lalu, dapat digalas sebaik mungkin dan itu menjadi antara sandaran utama buat sekretariat dalam memastikan Para Sukma dapat berlangsung dengan lancar.

Menjelang upacara pembukaan yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Indera Mulia esok, siri pertama mesyuarat ketua kontinjen Para Sukma menyaksikan beberapa aspek menjadi tumpuan.

Antaranya adalah keperluan khas di perkampungan sukan yang berpusat di Politeknik Ungku Omar, Ipoh di samping proses klasifikasi atlet yang menimbulkan sedikit kekeliruan kepada pengurus beberapa jenis sukan yang terlibat.

Bagaimanapun, wakil kontinjen yang ditemui Nadi Arena yakin penganjuran Para Sukma kali ini akan berlangsung tanpa sebarang permasalahan besar.

"Venue penginapan saya rasa berada di tahap terbaik. Atlet berpuas hati, termasuk aspek makan dan minum. Saya rasa tiada masalah," kata wakil kontinjen Terengganu, Fikri Mahmud.

"Saya boleh katakan jika Sukma boleh dianjurkan, Para Sukma juga boleh dijalankan dengan baik. Para Sukma melibatkan peralatan seperti kerusi roda, jadi bas khas atau keperluan lain diperlukan.

"Ia adalah tambahan dan bagi saya, Perak menjalankan tugas dengan baik," tambah pengurus kontinjen Sarawak," Matthew Chin.