Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Hazally Jali, mengesahkan atlet silat dan olahraga yang dikesan positif ujian doping dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2016 tidak memberi maklum balas untuk ujian sampel B mereka diuji.

KPT melahirkan rasa kecewa apabila atlet terbabit tidak memberi kerjasama terhadap kes tersebut.

Bagaimanapun, Hazally berkata proses siasatan tetap akan diteruskan dan kementerian berkenaan menetapkan Isnin ini sebagai tarikh menentukan hukuman.

"Apabila mereka tidak memberikan maklum balas, ada kemungkinan yang mereka tidak mengambil berat terhadap kesan daripada kes doping itu.

"Mereka juga mungkin memikirkan bahawa mereka ada mengambil bahan terlarang semasa kejohanan itu berlangsung," kata Hazally.

Ia adalah kes pertama atlet SUKIPT dikesan positif doping sejak edisi sulung temasya itu pada 2012.

KPT akan meneruskan kerjasama dengan persatuan sukan kebangsaan dan Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) untuk mengesan lebih banyak kes di kalangan atlet institusi pengajian tinggi (IPT).

Begitupun, Hazally memberi jaminan kes ini tidak akan menjejaskan pengajian kedua-dua atlet terbabit.

"Yang penting bagi KPT ialah untuk mendidik mereka dan juga mahu memastikan bahawa atlet-atlet bertanding yang mewakili IPTA ataupun IPTS, mereka hendaklah sedar bahawa kesan sampingan ke atas penggunaan bahan terlarang tersebut adalah jauh lebih besar."

Dua atlet, masing-masing seorang daripada silat dan olahraga, dikesan positif sibutramine selepas menyertai SUKIPT 2016 di Skudai, Johor, awal tahun ini. Perkara itu mula didedahkan ADAMAS dan KPT pada bulan lalu.

Sibutramine lazimnya terkandung dalam pil pelangsing badan.