Penampilan pertama Kota Kinabalu pada pentas final Piala Ketua Menteri (KM) Sabah membawa tuah apabila mereka muncul juara selepas membenam Beaufort 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, petang tadi.

Dalam aksi final itu, Kota Kinabalu lebih dulu memiliki peluang pada minit ke-13 menerusi Mohd Faqrurazi Ahmad, namun percubaannya selepas melepasi tiga pertahanan lawan terus ke dakapan penjaga gol Beaufort, Saripudin Ladeh.

Dua minit kemudian, Beaufort hampir memperolehi gol pertama menerusi percubaan jarak jauh Azmizan Rusle, malangnya ia sekadar terkena palang.

Pada minit ke-28, Beaufort sekali lagi mencemaskan pintu gol Kota Kinabalu, namun tandukan Rehan Ratimin hasil satu sepakan sudut diselamatkan pertahanan lawan di atas garisan gol.

Bermula babak kedua, Kota Kinabalu lebih garang di awal permainan dan akhirnya memperolehi gol pertama pada minit ke-53 hasil rembatan cantik Arius Dius Jais dari luar kotak penalti bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Permainan kemudian agak seimbang dengan kedua-dua pasukan tidak banyak melakukan serangan dan bola lebih banyak tertumpu di tengah padang.

Pada minit ke-86, Kota Kinabalu akhirnya berjaya menambah jaringan hasil sepakan percuma Mohd Ilham Amin dari jarak kira-kira 35 meter di luar kotak penalti.

Kedudukan 2-0 itu kemudian kekal sehingga wisel penamat dan Kota Kinabalu dinobatkan sebagai juara Piala KM Sabah bagi edisi kelima.

Pengurus pasukan Kota Kinabalu, Lokman Sunggim, ketika ditemui berkata beliau berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan pemainnya.

"Mereka bermain pada tahap sebenar petang ini, sekali gus memberi kami kemenangan, kami sangat gembira kerana ini penampilan pertama kami dalam final dan berjaya menjadi juara," katanya.

Terdahulu, pasukan Keningau muncul pemenang tempat ketiga selepas menewaskan Tawau dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.