Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak akan membida sebarang penganjuran sukan bertemasya dalam masa terdekat, dengan setiausaha agungnya, Datuk Low Beng Choo, mendakwa kos tuan rumah Sukan Asia 2018 dan Sukan Komanwel 2022 tidak masuk akal.

MOM kekal dengan pendirian tidak membida penganjuran Sukan Komanwel 2022 selepas tarikh tutup bidaannya tamat, semalam.

Ia susulan kos terlalu mahal kerana bagi Sukan Komanwel, penganjur perlu menyediakan sekitar RM140 juta hanya untuk yuran penganjuran dan program pembangunan.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) belum mengumumkan senarai baru negara pembida selepas Birmingham, England, muncul calon tunggal dalam pusingan pertama.

"Sebagai badan induk yang bertanggungjawab, komitmen yang begitu besar dari segi kewangan terpaksa dipertimbangkan.

"Kami mendapati banyak persatuan sukan di negara ini yang memerlukan dana untuk membangunkan sukan masing-masing.

"Lagipun, kita baru sahaja menganjurkan Sukan SEA Kuala Lumpur. Bahkan, laporan akaun kewangan dan laporan temasya itu juga belum disiapkan. Oleh sebab itu, kami tidak dapat melanjutkan lagi langkah untuk penganjuran Sukan Asia dan Sukan Komanwel," ujarnya.

Bagi Sukan Asia, Beng Choo terkejut apabila Indonesia mengumumkan kos RM11 bilion menjelang temasya itu pada Ogos tahun depan.

Ia jauh mengatasi kos temasya Incheon 2014 apabila Korea Selatan membelanjakan kira-kira RM7 bilion.

Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos lalu menelan kos RM550 juta manakala Sukan Olimpik Rio tahun lalu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM53.5 bilion.