Koronavirus: Penerjun negara mahu pulang awal dari China -- Mae Chen

Oleh Staff Writer 28 Januari 2020 151
Koronavirus: Penerjun negara mahu pulang awal dari China -- Mae Chen
Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sedang menguruskan kepulangan tiga penerjun termasuk Wendy Ng Yan Yee, yang mahu menamatkan program latihan di China lebih awal ekoran kebimbangan jangkitan koronavirus.

Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee dijadual pulang Selasa depan selepas sebulan berlatih di Chengdu, China.

Kawalan ketat pihak berkuasa tempatan ekoran jangkitan koronavirus selain hanya membenarkan skuad negara berada di hotel penginapan dan venue latihan meningkatkan kebimbangan.

Terbaru, Yan Yee menyuarakan hasrat pulang awal berbanding jadual asal, 13 Februari depan.

"Yan Yee menghubungi saya dan bertanya adakah dia boleh pulang awal bersama Pandelela dan Mun Yee, Selasa ini. Kami akan membantu kepulangan mereka ke tanah air," kata Setiausaha Kehormat Asum, Mae Chen.

Tiga lagi penerjun negara masih berada di China iaitu Kimberly Bong dan Enrique Harold (Chengdu) sementara Cheong Jun Hoong -- Qinhuangdao.

Setakat ini, lebih 100 rakyat China meninggal dunia ekoran koronavirus.

Dalam perkembangan sama, ASUM sudah menghubungi pengurus pasukan Hong Kong, Macau, Indonesia dan Thailand untuk memastikan atlet yang menyertai Kejohanan Jemputan Peringkat Usia di Bukit Jalil, Mac depan bebas jangkitan koronavirus.

"Saya tidak pasti pihak Institut Sukan Negara (ISN) memberikan cadangan dalam hal ini tetapi saya akan berbincang dengan mereka bagi memastikan penyakit tersebut dapat dielakkan."

Sementara itu, ISN akan menjalankan pemeriksaan khas terhadap penerjun negara yang pulang ke tanah air.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan di pintu masuk utama negara.

"Kami akan melakukan ujian terhadap tahap kesihatan atlet terutama penerjun negara yang berlatih di China sejurus mereka tiba ke Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli.


Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen