Persatuan Olahraga Asia (AAA) hari ini membatalkan Kejohanan Olahraga Asia Ke-9 di Hanzhou, China, pada 12 dan 13 Februari depan disebabkan penularan wabak novel koronavirus di negara itu.

Ahli Majlis AAA, Datuk Karim Ibrahim, berkata badan olahraga Asia itu telah membuat keputusan menerusi mesyuarat secara dalam talian petang tadi berikutan merebaknya virus itu yang berasal dari Wuhan, China.

“AAA membuat keputusan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan atlet dan pegawai yang terlibat dalam kejohanan itu.

“Bagaimanapun, mesyuarat Jawatankuasa Stastistik AAA di Malaysia yang saya pengerusikan akan diteruskan, seperti dijadualkan di Kuala Lumpur pada Khamis dan Jumaat,” katanya kepada Bernama.

Agensi Berita Xinhua melaporkan sebanyak 1,975 kes pneumonia yang disebabkan koronavirus telah disahkan dengan 56 kematian sehingga hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah megesahkan empat warganegara China, yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura, telah disahkan positif virus tersebut.

-- BERNAMA