Kontrak Vesiljevs tetap ditamatkan -- Makaf

Oleh Penulis Jemputan 28 Oktober 2018 141
Kontrak Vesiljevs tetap ditamatkan -- Makaf
Kontrak jurulatih karate-do negara, Andris Vasiljevs, tetap akan ditamatkan selepas Tan Sri Mohd Ali Rustam mengetuai barisan kepimpinan baru Persekutuan Karate-do Malaysia (Makaf) untuk penggal 2018-2020.

Barisan kepimpinan baru mengekalkan 80 peratus individu lama.

Perubahan hanya membabitkan jawatan setiausaha agung apabila Datuk Nur Azmi Ahmad menewaskan pencabarnya dengan kelebihan tujuh undian dalam mesyuarat agung tahunan badan induk itu hari ini

Apa yang menarik adalah barisan kepimpinan baru itu kekal dengan pendirian bahawa pengendali skuad negara perlu ditukar bagi membantu atlet negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami mempunyai dua kejohanan yang perlu diberikan perhatian, iaitu Sukan SEA Filipina 2019 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Selepas ini, kami akan melantik seorang jurulatih baru dan dengan keputusan itu nanti, kami yakin mampu menyumbang pingat buat negara," kata Nur Azmi, 

Ini merupakan kejayaan sulung Nur Azmi di pentas kebangsaan selepas tewas perebutan jawatan dalam Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Mohd Ali mempertahankan jawatan presiden, Datuk Mohd Noordin Abdullah dipilih timbalan presiden 1 sementara Vincent Chen dipilih sebagai timbalan presiden 2.

"Tan Sri (Ali Rustam) berpandangan mereka yang tewas kali ini tidak bernasib baik kerana tidak mendapat sokongan daripada delegasi," kata Vincent.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen