Ketua jurulatih skuad bola jaring negara, Choo Kon Lee, tidak gentar dengan skuad kebangsaan Singapura yang turut menerima kehadiran jurulatih baru dari New Zealand pada bulan lalu.

Bukan sahaja skuad Malaysia berdepan perubahan kejurulatihan, begitu juga dengan seteru utama, Singapura, yang kini mendapat bimbingan daripada Natalie Milicich.

Jelas Kon Lee, dia tidak pernah memandang mudah prestasi naib johan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu tanpa mengambil kira siapa pun pengendali mereka.

Apa yang membezakan hanyalah barisan pemain di mana Malaysia mempertaruhkan pemain remaja manakala Singapura kekal dengan skuad sama yang lebih berpengalaman.

"Singapura mempunyai jurulatih dari New Zealand tetapi saya tidak berapa kenal. Sebelum ini, dia pernah memenangi Piala Dunia.

"Saya tidak gentar tetapi kami akan melakukan yang terbaik," katanya.

Kapten pasukan, Noor Azilah Aziz, pula bertekad mahu membantu pasukan selepas kempunan untuk beraksi dalam Sukan SEA kerana tidak tersenarai dalam senarai 12 pemain.

"Pemain remaja mempunyai fizikal yang baik tetapi kemahiran masih perlu diperbaiki. Mungkin, jurulatih akan menerapkan kemahiran. Kami akan melakukan dengan terbaik," katanya.

Skuad negara akan menghadapi Kejohanan Bola Jaring Piala Negara-negara di Singapura, bermula Ahad ini hingga 9 Disember ini.