Gabenor Sumatera Selatan, Alex Noerdin, memberi jaminan Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang akan siap sepenuhnya Februari tahun depan walaupun dengan pembinaan beberapa venue baru menjelang Sukan Asia 2018.

Palembang selaku venue kluster keempat Sukan Asia 2018 sedang giat menjalani proses menaik taraf.

Beberapa venue baru dibina seperti tenis, boling tenpin, lumba perahu dan perkampungan atlet.

Selain itu, mereka turut membina sistem Transit Aliran Ringan (LRT) sepanjang 24 kilometer yang turut melalui Kompleks Sukan Jakabaring, sekali gus menjadi perubahan besar selepas menganjurkan Sukan SEA 2011.

"Kami mempunyai pengalaman dijangka tidak dapat mempersiapkan venue ketika menganjurkan Sukan SEA 2011, ia adalah perkara biasa buat kami tetapi Indonesia akan mempersiapkan setiap venue pada Februari tahun depan," kata Alex.

Sebanyak 10 acara akan diadakan di Palembang sementara baki 30 lagi di Jakarta.

Bagaimanapun, Palembang merancang mengambil alih status Gelora Bung Karno sebagai kompleks sukan utama republik itu.

Palembang turut merancang menganjurkan perlumbaan MotoGP 2019 dengan litar yang akan mula dibina di Jakabaring, bulan depan.

"MotoGP merupakan impian buat Palembang dan Indonesia. Ia merupakan perancangan yang akan dilaksankan dan kami sedang mendapatkan artitek untuk membuat landskap venue ini," kata Pengarah Kompleks Sukan Jakabaring, Esti Adnan.