Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akhirnya menepati janji dengan melunaskan insentif bagi pemecah rekod kebangsaan yang tertunggak hampir setahun.

Perkembangan itu semestinya menjadi satu suntikan semangat buat empat atlet tersebut untuk terus melakar prestasi terbaik pada masa akan datang

Antara penerima insentif itu ialah Jackie Wong yang memecahkan rekod kebangsaan sebanyak tiga kali pada tahun lalu.

Pemberian itu dilihatnya sebagai satu hadiah selepas disahkan bebas daripada COVID-19 dan bakal memulakan latihan kelak.

"Terima kasih kepada KOM kerana menepati janji kepada atlet-atlet yang telah memecahkan rekod kebangsaan.

"Ia akan membakar lagi semangat saya dan lebih fokus dalam menjalani latihan.

"Pada masa depan, saya berharap akan terus mencatat kecemerlangan sebagai atlet," katanya.





Selain itu, Presiden KOM, Datuk SM Muthu, turut menyatakan pelaksanaan berkenaan merupakan permulaan baru buat KOM dalam melangsaikan janji yang telah dibuat oleh barisan exco terdahulu.

"KOM tidak mahu masalah lalu dibangkitkan lagi. Kami noktahkan masalah itu dan selesaikan janji kami kepada atlet.

"Kami sudah selesaikan masalah ini dan ini mungkin boleh menjadi satu insentif buat mereka.

"Saya harap mereka lebih bersemangat pada musim depan," katanya.