Andre Anura Anuar mengetuai senarai empat atlet yang bakal menerima ganjaran memecahkan rekod kebangsaan yang tertunggak, Khamis ini.

Berdasarkan jaminan yang dibuat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), atlet kelahiran Sabah itu akan menerima RM5000 selepas memecahkan rekod lompat jauh berusia 12 tahun dengan jarak 8.02 meter ketika meraih pingat perak Sukan SEA Filipina, tahun lalu.

KOM sudah selesai memproses dokumen dan bukti kejayaan atlet negara memecahkan rekod kebangsaan.

Badan induk itu akan melangsaikan semua tunggakan selewat-lewatnya Khamis ini sekali gus memberi baik untuk atlet negara.

"Kami akan membayar kepada atlet yang memecah rekod kebangsaan sebelum tamat bulan ini. Kami memerlukan bukti serta dokumen dan akan menyelesaikan sebarang bayaran yang tidak dilunaskan sebelum ini," kata Presiden KOM, Datuk SM Muthu.

Hanya butiran daripada jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin sedang diproses.

Dalam perkembangan lain, KOM tidak berancang untuk menghantar lebih ramai atlet ke luar negara buat masa ini selepas Irfan berjaya meraih pingat perak Kejohanan Olahraga Parbudice di Republik Czech, Khamis lalu.



"Saya sangat berterima kasih kepada Irfan di atas usaha yang dipamerkan. Latihan yang berhasil membenarkan dia meraih pingat untuk negara di pentas antarabangsa. Ia memberikan petanda yang positif buat sukan olahraga negara."