KOM tolak permohonan Luqman

Oleh Penulis Jemputan 24 Disember 2019 2224
KOM tolak permohonan Luqman
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) terpaksa menolak permohonan atlet lompat jauh, Luqman Hakim Ramlan, daripada menyertai Kejohanan Dalam Dewan Asia di Hangzhou, China, walaupun catatan 7.87 meter menyaksikan dia berpeluang meraih pingat.

KOM kekal dengan senarai tujuh atlet untuk mencabar pingat di Hangzhou, Februari depan.

Ini bermakna permohonan Luqman ditolak walaupun masih segar dengan catatan peribadi terbaik 7.87m ketika meraih pingat emas Kejohanan Olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) hujung minggu lalu.

"Kami telah menyenaraikan atlet yang bakal beraksi di Hangzhou. Luqman tidak akan ke sana tetapi dia masih lagi boleh beraksi dalam beberapa kejohanan lain," kata ketua jurulatih negara, Manshahar Abd Jalil.

Luqman tidak menyertai Sukan SEA Filipina apabila tempatnya diambil alih Abd Latif Romly sebelum jaguh para itu menarik diri.

Realitinya, kekosongan itu tidak diganti dan Luqman berputih mata untuk ke Filipina.

"Andre Anura Anuar akan bertanding dalam acara lompat jauh di Hangzhou dan bakal bersama Luqman untuk kejohanan lain akan datang."

Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Asia 2019 di Tehran, Iran menyaksikan atlet China, Shi Yuhao, meraih emas dengan catatan 8.16m sementara atlet Taiwan, perak dengan 7.72m.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen