Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bercadang untuk meneruskan perancangan mereka mengumpulkan semua pelari pecut negara, termasuk Khairul Hafiz Jantan, di bawah seliaan Pengarah Teknikal KOM, Dwayne Miller.

Khabarnya, KOM sedang mengadakan perbincangan untuk menempatkan pemenang pingat emas acara 100 meter Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu di Majlis Sukan Negara (MSN).

Khairul Hafiz dilaporkan sedang menjalani proses peralihan selama dua minggu sejak tiga hari lalu sebelum dia menjalani latihan sepenuhnya di bawah kendalian Miller.

Dalam tempoh itu juga, KOM akan mengadakan satu perbincangan dengan jurulatihnya, Poad Kassim, bagi mendapatkan satu keputusan terbaik berkenaan perjalanan karier atlet kelahiran Merlimau itu.

"KOM sentiasa ada mesyuarat kejurulatihan dan berpendapat lebih elok sekiranya dia (Khairul Hafiz) berlatih bersama jurulatih yang pakar di sini," kata Timbalan Presiden KOM, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar.

"Daripada segi persetujuan itu, saya rasa tiada masalah kerana jurulatihnya sendiri pasti akan bersetuju, jadi seharusnya kami mengadakan mesyuarat.

"Khairul Hafiz sudah memberikan petanda bahawa dia akan datang ke sini kepada ketua jurulatih kami.

"Saya sendiri sudah memaklumkan kepadanya bahawa keputusan itu tertakluk kepada mesyuarat di antara jurulatih dengannya," katanya.

Dalam masa sama, Miller turut menyatakan keterujaannya untuk melihat semua atlet pecut negara dikumpulkan di bawah satu bumbung.

"Jika mereka semua berada di sini, ia pasti amat baik buat saya dan amat baik buat semua orang.

"Mereka dapat berkumpul dan bergaul dengan atlet lain. Ia adalah kerjasama sepasukan yang baik.

"Mereka berada di sini seperti satu keluarga. Itulah yang saya nantikan," katanya.