Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, sedang berusaha mendapatkan khidmat pengendali Australia untuk membantu skuad kebangsaan menjalani program latihan di negara kanggaru itu selepas usaha menempatkan skuad pecut di Amerika Syarikat (AS) dibatalkan.

Seramai 18 atlet akan berlatih di Australia pada Februari tahun depan dengan misi mendominasi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Beberapa jurulatih tempatan akan turut dibawa, namun Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) merancang mendapatkan sentuhan pengendali Australia.

Ia susulan prestasi atlet lompat tinggi, Nauraj Singh, yang meningkat sejak menjalani program latihan kendalian pengendali Australia, Alex Steward.

"Kami akan cuba mendapatkan bantuan daripada Persatuan Olahraga Australia untuk melantik seorang jurulatih pembimbing untuk membantu atlet negara di sana.

"Setakat ini di Perth, kami sudah mendapatkan seorang jurulatih untuk membantu atlet lompat bergalah kita," kata Zainal.

KOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) membatalkan rancangan menghantar skuad pecut, diketuai pemegang rekod kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, berlatih di Kelab Santa Monica, AS.

Ia berikutan masalah kemudahan selain ketiadaan jurulatih berkaliber di kelab terbabit.

Selepas Australia, skuad olahraga akan memulakan program latihan di Universiti Minnesota, AS mirip skuad basikal pecut di Melbourne, Australia.